Photobucket

23 Oktober 2009

Teman2... Renungilah iktibar di sebalik kehidupan fana ini...



" Ibu, kenapa menangis?" tanya seorang anak kepada
ibunya. Ketika itu si ibu sedang menyuap makanan ke
mulut si anak.
"Kerana ibu seorang wanita," jawab si ibu sambil
mengesat air matanya. "Apa maksud ibu?" si anak
bertanya lagi.
Ibu cuma tersenyum sedang air mata masih merembes,
membasahi pipi. Dipeluk anaknya erat-erat lalu
berkata: "Anakku, kau memang takkan faham."
Kemudian anak itu bertanya pula kepada ayahnya: "Ayah,
kenapa ibu mudah menangis?"
"Semua wanita memang mudah menangis," hanya itu
jawapan yang mampu diberikan.
Masa berlalu..si anak membesar dan menjadi lelaki
dewasa, namun dia masih lagi tertanya-tanya, mengapa
wanita mudah menangis?
Sampai waktunya si ibu dipanggil pulang ke
rahmatullah. Kerinduan yang amat sangat menyebabkan si
anak terbawa-bawa rasa rindunya itu ke dalam mimpi.
Di dalam mimpi itu, si ibu memimpin tangan si anak
sambil berkata: "Anakku.Allah telah menciptakan wanita
sangat istimewa. Dijadikan-Nya bahu wanita itu cukup
kuat agar mampu menahan seluruh beban dunia dan
isinya. Namun ia juga cukup nyaman dan lembut untuk
menahan kepala bayi yang sedang tidur nyenyak."
"Allah berikan wanita kekuatan untuk melahir dan
mengeluarkan bayi daripada rahimnya walaupun kerap
kali ia menerima cercaan daripada si anak. Keperkasaan
itu juga membuatkan wanita tetap bertahan, pantang
menyerah walaupun ketika orang lain sudah berputus
asa. Kepada wanita juga Allah berikan kesabaran untuk
merawat keluarganya walaupun letih, sakit dan lelah
tanpa berkeluh-kesah...
"Ingatlah anakku, dalam hati setiap wanita itu, Allah
telah tetapkan perasaan kasih sayang dan peka untuk
mencintai semua anaknya tanpa mengira keadaan atau
paras rupa walaupun acap kali anak-anak melukai
perasaan dan hatinya. Allah juga memberikan wanita
suatu kekuatan luar biasa untuknya membimbing suami
melalui saat-saat genting dan sulit serta menjadi
pelindung walaupun sepatutnya dialah yang harus
dilindungi. Kemudian Allah berikan wanita
kebijaksanaan, ketabahan serta kelembutan untuk
menangkis segala keburukan suami. Walaupun sering kali
ia akan menguji kesetiaannya kepada suami agar tetap
berdiri sejajar, saling melengkapi dan menyayangi...
"Dan anakku, air mata adalah permata paling berharga
yang Allah kurniakan kepada setiap wanita supaya dia
boleh mencurahkan perasaan suka dan dukanya...
"Jika kamu fikir air mata adalah kelemahan wanita,
ternyata kamu silap. Air mata adalah kekuatan wanita,
di situlah perasaannya berderai; duka, gembira,
bahagia, sengsara malah cintanya terungkap melalui air
mata. Air mata wanita adalah air mata kehidupan,.."
Tiba-tiba si anak terjaga. Barulah dia sedar betapa
teguh dan kuatnya seorang wanita.