Photobucket

08 Mac 2010

Rabiul Awal

Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada 12 Rabiulawal, yang pada tahun ini jatuh pada 26 Feb 2010. Berbagai acara sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan junjungan kita ini.

Sejauh manakah kita menghayati kisah perjuangan nabi junjungan kita dengan mengambil iktibar serta ikutan setiap ajaran yang dibawa..


Pengertian Rabiul Awal

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka, nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah S.A.W telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.


Peristiwa Penting

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan antaranya ialah;

1) Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah S.A.W. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun Gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal pada setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah.

2) Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Pada bulan Rabiulawal inilah Nabi S.A.W diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi S.A.W berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3) Hijrah. Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah, pada ketika itu disebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4) Peperangan. Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah S.A.W di antara tentera Islam dan tentera kuffar. Antara peperangan yang berlaku pada bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan ( Badar pertama ), Bawat, Zi Amar ( Ghatfan ), Bani an-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5) Wafatnya Muhammad Rasulullah S.A.W. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah R.A dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6) Abu Bakar R.A menjadi khalifah pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar R.A di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah S.A.W yang diketuai oleh Saidina Ali R.A Ahli Bait Rasulullah S.A.W.

7) Pembukaan Iraq. Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid R.A telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq pada zaman Saidina Abu Bakar R.A.

8) Pembukaan Baitul Muqaddis. Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

9) Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol. Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

0 comments: